Dengan nama Tuhan,
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani .
Di sini akan ku curahkan segala apa yang selama ini berlegar – legar memenuhi ruang mindaku yang serba kekurangan , agar coretan yang penuh kekurangan , jauh dari kesempurnaan ini dapat memberi peringatan kepada kita semua , kepada aku , bahawa diri ini telah lama lalai , telah jauh dari tujuan hidup yang sebenarnya.
Hatiku resah , sesak dengan segala kekusutan dan kerisauan , tidak memberi sedikit ruang pun untuk ketenangan menapak , barangkali dek tekanan SPM yang kian menghampiri , mungkin juga kerana diri ini lalai degan dunia dan cintanya yang mempesona , tidak menyedari bahawa maut juga teramat hampir, mungkin esok, mungkin beberapa minit lagi, mungkin beberapa saat, beberapa detik , mungkin sekarang. Namun begitulah fitrah manusia, fitrah aku, punya kecintaan pada sesuatu yang menyeronokkan , melalaikan ,bebas dari tanggungjawab dan pengtaklifan . Namun , manusia itu secara fitrahnya juga punya rasa bertuhan dan juga rasa ingin menghambakan diri , rasa yang disingkirkan ke lubuk hati yang tersudut lagi terpencil, ditolak-tolak rasa cinta akan dunia yang memenuhi segenap ruang hati .
Alam ini sememangnya sementara , alam ini selalu diperkatakan penuh noda dan kemaksiatan , hasil tangan-tangan manusia yang hina .
Namun , alam ini juga merupakan ciptaan Dia Yang Maha Indah , lagi mencintai keindahan .
Alam ini sebetulnya juga manjadi bukti dan dalil kekuasaannya.
Alam ini bias menjadi penjara bagi orang mukmin, bisa juga menjadi taman yang indah,
Taman yang menghidupkan hati dengan kekaguman terhadap
Kekuasaan , keagungan dan kebesaranNYA.
Suatu senja yang hening, aku dibentangkan dengan panorama di ufuk yang begitu mempesona . Biasan sinaran Sang Mentari yang kian menghilang menyerakkan warna-warna yang harmoni penuh keindahan. Sememangnya, ini bukan kali pertama aku melihatnya ,hamper setiaphari. Ya, setiap hari awan dan langit diciptakan dengan penuh keindahan .
Timbul persoalan di hatiku , persoalan yang wujud dek kekaguman yang melimpah di dalam hati , persoalan yang bakal merungkai suatu hakikat yang sebenar , jika bertemukan jawapannya.
Hatiku bersoal , mengapa Tuhan sanggup menciptakan alm yang sebegini indah , diciptakan segala yang indah di sini , alam yang padanya aku melakukan kemaksiatan dan kemurkaan .Jawapan yang datang begitu memberi kesan pada hatiku , kerana jawapan itu memberitahuku bahawa aku ini, selama kewujudanku , teramatlah disayangi dan dikasihi Dia, Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani . Masakan tidak, sesungguhnya diri ini lebih banyak melakukan penderhakaan berbanding ketaatan semestinya. Diri ini tidak pernah melakukan yang terbaik dalam setiap amalan , hanya untuk Dia. Diri ini juga sememangnya lebih cintakan dunia .
Meskipun begitu , diri ini masih lagi diciptakan sebagai sebaik-baik ciptaan dengan segala kehalusan , ketelitian dan keteraturan . Diri ini merupakan sebaik-baik ciptaan . Diri yang derhaka ini juga diizinkan untuk hidup di alam yang penuh dengan keindahan dan kenikmatan . Ah, betapa pengasihnya Tuhan ! Serasa aku ini sebetulnya tidak layak diciptakan sebagai ciptaan yang terbaik. Selayaknya, diri ini tidak layak untuk diciptakan kerana , penciptaanku hanya mengundang kemurkaan , bukanlah kesyukuran atau ketaatan . Namun Dia yang maha mengetahui hikmah rahsia disebalik kejadian.
Boleh sahaja Tuhan menciptakan langit yang berwarna
Merah jambu siang harinya dan hijau muda pada malamnya,
Boleh sahaja kicauan burung digantikan dengan suara lembu ,
Boleh saja Dia menciptakan manusia itu sebagai seburuk-buruk ciptaan dengan serba-srbi kekurangan.
Kerana Dia Maha Kuasa , lagi Maha Berkehendak. Dia memiliki segala yang ada di langit , bumi dan antara kedua-duanya.
Namun, Dia juga bersifat dengan sifat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Segala kekuasaan digunakan bagi menciptakan segala yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
Ah , betapa terhutangnya diri, betapa bongkaknya diri, betapa butanya mata, pekaknya telinga dan betapa tertutupnya hati.
Kini , aku akan mencuba, cuba untuk mengikhlaskan segala amalan yang terbit dari diriku hanya untuk Dia yang selayaknya,
Dia yang bersifat dengan segala kesempurnaan , Dia yang menguasaai segala yang wujud,
Dia yang padanya kubersujud,
Dia Tuhanku,
Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
KASIH TUHAN
-hamba yang dikasihi, hamba yang memuliakan-
29/4/09 , Khamis
No comments:
Post a Comment